Sejarah Kewujudan Seni Silat Kuntau Banjar
Masyarakat Banjar adalah merujuk kepada sebahagian dari kelompok rumpun “Melayu” di nusantara kepulauan Melayu. Kepulauan Borneo yang berpusat di Kalimantan adalah asal pertumbuhan masyarakat Banjar yang mampunyai Tradisi Kemelayuan berlandaskan prinsip Islam. Kedatangan masyarakat Banjar ke kepulauan Melayu telah membawa bersama adat serta tatacara hidup yang diamalkan di Kalimantan, Indonesia. Adat tersebut dapat dilihat dari segi loghat percakapan mereka, pergaulan dan lain-lain lagi. Seperti masyarakat Melayu yang lain, orang Banjar juga mempunyai seni mempertahankan diri yang di warisi turun temurun. Seni tersebut di namakan Pencak Seni Silat Kuntau Banjar.
Pada era zaman kemasyhuran Nusantara Melayu dalam bidang perdagangan, keturunan cina yang berasal dari daerah Kuantong (daerah di Negara China) telah berhijrah ke Kalimantan, Indonesia yang pada masa itu dirujuk sebagai “Kali Intan”. “Kali Intan” pada zaman itu merupakan sebuah lubuk yang kaya dengan batu permata intan. Makanya kedatangan pelombong cina pada masa itu adalah dengan tujuan untuk mencari batu permata intan yang amat berharga sebagai bentuk perdagangan.
Kewujudan Pencak Seni Silat Kuntau Banjar ini mempunyai sejarah tersendiri bagaimana ia diwujudkan. Pada abad ke 14, orang-orang Belanda telah mengunjungi ke Kalimantan dengan tujuan untuk berniaga dan sekaligus menakluki sumber kekayaan di daerah-daerah yang didapati kaya dengan sumber galian seperti batu permata intan. Kebiadapan penjajah tersebut telah menyebabkan berlakunya terjadi tragedi pembantaian terhadap orang-orang Belanda melalui penggabungan masyarakat Banjar dan keturunan Cina perdagang. Melalui titik tolak penggabungan dua kelompok masyarakat yang berlainan adat inilah maka terwujudnya satu seni bela diri yang dinamakan “Kuntau”. Perkataan “Kun” membawa maksud “Jadi” manakala “Tau” pula membawa maksud “Isyarat”.
Keunikan seni bela diri “Kuntau” yang dapat dilihat menerusi penggabungan dua masyarakat ini adalah gabungan langkahnya. Maka ia menjadi satu seni mempertahankan diri yang unik dan berteraskan pertarungan tempur. Ini dapat dilihat dari segi prinsipnya yang mementingkan “pertahanan diri” serta “buah hantaran tepat”. Dek kerana, semangat kekuatan yang terhasil melalui penggabungan inilah, dikatakan pada masa itu orang-orang Belanda hampir-hampir berputus asa di dalam penaklukan mereka ke atas “Kali Intan” yang mengambil masa selama tiga puluh tahun akibat penentangan dua masyarakat ini.
Bermula dari peperangan menentang penjajah Belanda, seni bela diri ini telah berkembang menjadi warisan tradisi yang dibanggakan oleh masyarakat Banjar. Seni bela diri ini juga telah berkembang mengikut arus perubahan zaman dan telah di sesuaikan oleh para guru agar langkah seninya bersesuaian dengan seni bela diri masyarakat Jawa yang dipanggil “Cimande”.
Perhubungan baik diantara dua masyarakat Banjar dan Jawa ini telah menyebabkan seni bela diri ini mengalami satu lagi transformasi dimana para guru telah memperkemaskan lagi langkah-langkah permainan yang bermula dari langkah satu sehingga ke langkah dua belas.
Seni mempertahankan diri “Kuntau” ini adalah salah satu dari cabang seni bela diri yang dibawa dari tanah Banjarmasin (Kalimantan) oleh keturunan Banjar ke bumi Tanah Malaya (Malaysia) lalu dinamakan sebagai “Seni Silat Kuntau Banjar” . Walaupun seni mempertahankan diri ini berasal dari keturunan masyarakat Banjar, namun oleh kerana masyarakat tersebut adalah merupakan dari salah satu rumpun masyarakat Melayu yang mengamalkan ISLAM sebagai agama pegangan, maka di situlah timbulnya semangat persaudaraan sesama ISLAM diantara masyarakat Melayu lain.
Para guru juga mempunyai harapan agar seni mempertahankan diri ini dapat berkembang dan diwarisi oleh generasi yang akan datang bukan sahaja dari kalangan anak jati masyarakat Banjar sahaja bahkan untuk semua “Rumpun Masyarakat Melayu” yang terdiri dari pelbagai etnik kemelayuan kerana ia adalah WARISAN TRADISI yang harus dipertahankan. warisi turun temurun. Seni tersebut di namakan Pencak Seni Silat Kuntau Banjar.
Sejarah Perguruan Di Malaysia
Awal tahun 1900, penghijrahan Guru silat bernama Adol dari Banjarmasin (Kalimantan Selatan, Indonesia) ke Tanah Malaya (Malaysia) yang membawa bersama warisan seni bela diri masyarakat Banjar iaitu Seni Silat Kuntau Banjar, telah menetap di Kampung Changkat Bayas, Perak.
Pada awal tahun 1963 pula, bertempat di Kampung Changkat Rambai, Kampung Gajah, Perak iaitu bersebelahan dengan Kampung Changkat Bayas, terdirinya sebuah gelanggang persilatan generasi ke-4 Seni Silat Kuntau Banjar. Gelanggang tersebut dipimpin oleh Guru Haji Ramli Bin Adol yang merupakan anak kepada Guru Adol dan dibantu oleh Guru Emoh Bin Hamid yang merupakan biras kepada beliau.
Di bawah dua buah sinaran lampu gasoline maka bergelangganglah para pelatih hampir setiap malam mempelajari Seni Silat Kuntau Banjar kecuali hari khamis malam jumaat. Awalnya, gelanggang tersebut dianggotai seramai 25 orang pelatih yang kebanyakkan sudah mencapai usia 20-an. Pelatih yang paling muda ketika itu adalah seorang kanak-kanak yang berusia 9 tahun bernama Mohamad Samsi Bin Amri. Beliau adalah cucu kepada Guru Emoh Bin Hamid dari sebelah ibunya.
Pada peringkat awalnya Seni Silat Kuntau Banjar hanya diajar kepada saudara mara yang terdekat sahaja untuk pertahanan diri dan akhirnya mendapat sambutan dan berkembang di kalangan masyarakat Banjar di kedua buah kampung tersebut (Changkat Bayas dan Changkat Rambai).
Selain guru silat Haji Ramli Bin Adol, Seni Silat Kuntau Banjar juga telah melahirkan beberapa orang guru silat pewaris iaitu Guru Emoh Bin Hamid, Guru Haji Asa'ari, Guru Haji Ahmad Ringkai, Guru Kang Baya dan pewaris terakhir ialah Guru Mohamad Samsi Bin Amri.
Pada tahun 1990-an, dengan memegang mandat sebagai Guru Utama Seni Silat Kuntau Banjar, Guru Mohamad Samsi Bin Amri telah membuka sebuah gelanggang kecil berhampiran di rumah beliau di Kampung Changkat, Simpang Tiga, Gombak, Selangor. Pembukaan gelanggang tersebut adalah dengan bertujuan untuk memberi pelajaran pertahanan diri kepada rakan-rakan dan saudara terdekat selain untuk mempertajamkan dan mengasah kembali langkah-langkah jurus dan buah permainan. Segala langkah permainan ada lah diajar mengikut cara dahulu kala iaitu cara tradisional kampung tanpa mengubah keaslian Seni Silat Kuntau Banjar baik dari segi permainan mahupun bentuk pengajaran.
Pada 26 Mei 2000, melalui kerjasama diantara Guru Utama Mohamad Samsi Bin Amri dan ahli lama Seni Silat Kuntau Banjar dan juga atas bantuan Guru Utama Seni Silat Setia Bakti, Encik Dahlan Karim, Seni Silat Kuntau Banjar telah berjaya didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia W/P dengan nama Pertubuhan Seni Silat Kuntau Banjar, Nombor Pendaftaran 529.